Social Icons

Pages

Kamis, 19 Desember 2013

UiTM Akan Teruskan Program MDAB


KANGAR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan meneruskan program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilancarkan empat tahun lalu kerana ia melahirkan graduan berkualiti, kata Naib Canselornya Profesor Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata kejayaan program itu terbukti apabila sebanyak 159 graduan sulungnya menerima diploma pada konvokesyen UiTM ke-79 ini manakala 8,169 lagi masih dalam pengajian peringkat diploma.

MDAB akan diteruskan bagi menyediakan ruang kepada pelajar terutama dari kalangan keluarga miskin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi itu, katanya dalam sidang media selepas sidang pertama konvokesyen UiTM Perlis di sini hari ini. Turut hadir Rektor UiTM Perlis  Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman.

“Mereka yang terpilih di bawah MDAB didapati telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi graduan yang berkualiti” katanya.

Mereka adalah antara 29,297 graduan yang menerima ijazah dan diploma pada konvokesyen UiTM yang bermula 9 Nov sehingga 19 Nov ini termasuk 2,110 graduan di UiTM Perlis yang mengadakan konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini.

Sahol Hamid berkata mereka yang menyertai program MDAB perlu mengikuti pendedahan pengajian selama enam bulan di UiTM sebelum menjadi pelajar sebenar dalam pelbagai bidang yang mereka pilih.

Menurutnya, UiTM meletakkan sasaran meningkatkan jumlah pelajar kepada 250,000 menjelang 2020 dan pastinya jumlah pelajar di bawah MDAB juga akan terus meningkat.

Beliau bersyukur kerana kira-kira 80 peratus graduan UiTM telah memperoleh pekerjaan atau menjadi usahawan di samping ada yang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kami bukan sekadar ingin melahirkan tenaga kerja berkualiti tetapi kami juga melahirkan majikan atau usahawan,” katanya.

Beliau berkata, UiTM Perlis yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun depan bakal dinobatkan sebagai kampus berautonomi sepenuhnya menjelang 2015.

Kampus UiTM Perlis bakal menjadi perkampungan sukan bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 pada Mei tahun depan. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar